Monday, October 4, 2010

KEMPEN KITAR SEMULA


Pengenalan kepada kitar semula
Kitar semula ialah proses memproses semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru. Kitar semula mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, menggurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran udara, dan pencemaran air dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan barang baru dari bahan mentah
Bahan boleh dikitar semula termasuk kebanyakan jenis kaca, kertas, logam, plastik, tekstil, dan komponen elektronik. Sungguhpun sama berkesan, penghasilan kompos atau kegunaan lain bahan buangan biodegradable – seperti sampah makanan atau lebihan taman – biasanya tidak dianggap kitar semula
Dalam erti sebenar, mengitar semula bahan buangan akan menghasilkan bekalan baru bagi bahan yang sama, sebagai contoh kertas pejabat terpakai digunakan bagi menghasilkan kertas pejabat yang baru, atau polystyrene terpakai digunakan bagi menghasilkan polystyrene lain. Bagaimanapun, ini seringkali terlalu sukar atau terlalu mahal (berbanding dengan menghasilkan keluaran yang sama dari bahan mentah atau sumber lain), dengan itu kebanyakan barangan atau bahan "kitar semula" sebaliknya membabitkan kegunaan semula bagi menghasilkan bahan lain (contoh., kadbord). Satu bentuk lain kitar semula adalah salvage bahan tertentu dari keluaran rumit, samaada disebabkan nilai intrinsik (contoh, plumbum dari bateri kereta, atau emas dari komponen komputer), atau akibat sifat beracunnya (contoh, mengeluarkan dan mengitar raksa dari pelbagai bahan).

Bahan-bahan yang boleh dikitar semula

Kertas
Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti surat khabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula. Kertas berkualiti tinggi biasanya adalah kertas cetakan putih, kertas komputer putih, kertas alatulis pejabat putih dan kertas nota putih. Kertas campuran pula termasuklah semua kertas yang terhasil dari pejabat termasuklah yang berwarna putih dan juga warna-warna lain seperti suratkhabar, fail, sampul surat dan buku. Kertas ini dikategorikan sebagai kertas yang mempunyai kualiti yang rendah dan biasanya mempunyai harga pasaran yang agak rendah. Kertas licin, pita dan sampul surat yang mempunyai plastik biasanya tidak dibeli oleh pembeli. Harga yang mahal biasanya mempunyai bahan campuran yang kurang membawa kepada pencemaran.


Kaca
Semua jenis kaca termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik. Kebanyakan pembeli mengkehendaki segala kaca yang dikumpulkan diasingkan mengikut warna (warna jernih, hijau dan coklat) sebelum diangkut tetapi ada sesetengah yang menerima kaca yang bercampur aduk. Biasanya kaca yang pecah dan kertas label juga boleh diterima. Kebanyakan pembeli inginkan gelas-gelas yang telah dibersihkan dan bebas dari kotoran contohnya tudung-tudung botol, seramik, batu dan mentol lampu.

Plastik

Beg-beg membeli belah plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula. Kitar Semula plastik adalah industri yang masih baru dan dijangka berkembang selari dengan kemajuan teknologi. Proses kitar semula plastik untuk dijadikan bahan baru yang lebih baik mestilah dilakukan dengan langkah pengasingan plastik mengikut jenis terlebih dahulu. Cebisan-cebisan plastik yang selalunya di kitar semula digunakan di dalam botol soda dan juga bekas pengisi susu.

Logam

Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula. Aluminium dan tin minuman , foil aluminium dan bahan logam lain adalah sedia untuk dikitar semula. Sesetengah bahan logam seperti timah dan aluminium mempunyai harga pasaran yang tinggi. Pengumpulan bahan logam tersebut adalah bergantung kepada jenis logam tersebut.

Kepentingan kitar semula
Kitar semula dapat menyelamatkan alam sekitar kerana bahan terbuang akan dikitar semula, dengan ini pencemaran akan dikurangkan. Bahan mentah semulajadi juga akan kurang dilombong dan digunakan kerana bahan buangan sedia ada telah dikitar semula.
Fakta-fakta yang menyokong kitar semula dapat menyelamatkan alam sekitar :
·         Dengan mengitar semula 1 tin aluminium seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik 3 jam televisyen.
·         Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok.
·         Dengan mengitar semula 1 botol kaca seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu 100 watt selama 4 jam.
Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.

Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.





No comments:

Post a Comment